Monday, 5 December 2016

Emosi

Assalamualaikum wbt.

Setelah sekian lama membiarkan blog ini bersawang tanpa sebarang cerita mahupun 'life update'. Penghujung tahun yang baik pada mata namun bukan pada hati. Permainan dalam kehidupan makin sesak dengan kerja serta masalah-masalah dunia yang tidak pernah habis.

Alhamdulilah, setelah berlapang dada dengan apa yang terjadi di UiTM segalanya dibiarkan sementara. Berehat dari memikirkan kerja-kerja sekolah dan kembali fokus kepada kerja-kerja di meja pejabat. Satu persatu perkara diselesaikan tanpa memikirkan persaan dan hati sendiri. Berat tetap dipikul, ringan juga perlu dijinjing. Semoga terus diberkati dan dirahmati bagi segala perkara yang dilalui tanpa memikirkan sebab dan musibahnya.

Hari ini, minggu pertama bagi bulan Disember. Semoga ada sedikit ruang bagi sang kegembiraan untuk memberi ketenangan dan juga kelapangan kepada minda yang sempit dengan pelbagai perkara yang tidak terungkap. Allahu, semakin nazak dan sesak dengan pelbagai perkara yang difikirkan. Pada satu tahap seperti tidak mahu ketemu dengan sesiapa sahaja, namun itu bukan cara hidup aku sebagai manusia. Aku lebih senang untuk merasai kehangatan mentari serta mencari cahaya bulan untuk menyampaikan apa yang terpendam.

Gambar Sekadar Hiasan

Ketahuilah, ada perkara yang dipendam untuk diri sendiri dan yang diluah adalah untuk manusia tahu bahawa reaksi wajah tidak pernah sekali menipu 'I'm stress' dan 'Badmood'. Adakala aku juga terfikir ini mungkin ujian untuk diri sendiri, hendak dilihat sejauh mana kaki dan segala anggota ini mampu melangkah. Sejauh mana kita mampu membawa diri. Sejauh mana kita melarikan diri, perkara itu tetap datang dan juga bertandang untuk menguji setiap inci sisi otak kita untuk berfikir.

Kadang-kadang, aku sendiri tidak mengerti apa yang aku rasai dan apa yang sedang aku fikirkan. Segalanya menjadikan aku semak dengan apa yang difikirkan. Adakala, perkara yang difikirkan itu mudah sahaja untuk diselesaikan. Semudah A B dan C, tapi masih lagi menekan diri memikirkan agar tiada manusia yang akan terasa dan juga tiada musuh dicipta. Nyata, adakala aku mebiarkan sahaja apa yang dirasai oleh diri sendiri. Tidak pernah terfikir bahawa aku semakin lemah apabila dilanda satu-satu perkara.

Nyata, emosi tidak sestabil dulu untuk lalui apa sahaja yang difikirkan atau dilalui sepanjang masa ini.