Friday 29 August 2014

MH17 - Pergi Selamanya

Assalamualaikum WBT. :)

***Pada saat terakhir
Ku melihat paras wajahmu 
Kau bisikkan hanya sayang kepada ku ......


MH17 - Pemergian bermaruah dalam kenangan. Hati ini terdetik ingin menulis sedikit bingkisan berkenaan MH17. Selang beberapa bulan kehilangan MH370 di langit biru, Malaysia dikejutkan dengan berita kapal terbang milik penerbangan Malaysia Airlines MH 17 terhempas di sempadan Ukraine. Saat berita mula tersebar, saya mula membuka beberapa laman sesawang yang boleh dipercayai untuk mendapat berita yang sahih dan tepat. Aplikasi "whatsapp" mula berbunyi dan berduyun-duyun mesej yang masuk. Aduh! tersentak, terkejut dan terkedu. Bagaimana agaknya ahli keluarga mereka yang menanti kepulangan mereka untuk menyambut aidilfitri bersama. Tidak terlintas difikiran bagaimana rasanya mereka melalui saat-saat getir dan pedih sebegini. Ada yang masih kecil, tidak kenal dan tidak mengerti akan perpisahan, ada yang baru berkasih-sayang terpaksa merelakan kepergian yang tidak diminta namun sudah dijemput. Allahuakbar, dugaan buat mereka sungguh berat, sungguh memberi kesan yang mendalam kepada diri mereka. Saat itu, pelbagai spekulasi mula keluar oleh mereka-mereka yang tidak bertauliah, ada juga yang mula mempolitikkan keadaan yang seakan-akan semakin getir. Buah fikiran saya hanya terlintas, mereka ini semua manusia yang tidak mempunyai perasaan, nalurinya mati sebelum badan dikafankan. Kita tidak prihatin dengan terhadap perasaan mereka yang sedang bersedih dan berduka, namun kita terus menerus mengecam dengan pelbagai andaian. 

Permintaan keluarga magsa, hanyalah membawa jasad mereka untuk dikebumikan di tanah air sendiri. Permintaan yang akan ditunaikan oleh mereka yang bertanggungjawab untuk menguruskannya. Hampir sebulan lebih, jenazah-jenazah mangsa MH17 dibawa pulang ke Malaysia. 22 Ogos 2014, Malaysia berkabung dengan penuh kesedihan dan kesayuan. MH6129 selamat mendarat di KLIA, saat itu satu perasaan sayu mula tidak dapat dibendung, melihat ahli keluarga yang berdiri dan duduk dari satu sudut sambil menitiskan airmata, tertunduk sayu, lemah dan tidak mampu berkata apa-apa. Penghormatan terakhir ini memberi impak yang besar kepada Malaysia. Mereka terpaksa merelakan kepergian yang tidak diminta namun sudah dijemput. Melihat anak kecil yang tidak memahami apa erti perpisahan ini membuatkan saya rasa begitu sedih. Terlalu awal baginya untuk menghadapi perkara sebegini. Saat ingin dikebumikan, ibu tidak mampu meleraikan pelukannya pada keranda, itu membuatkan saya menitiskan air mata. Sejenak, ligat otak ini berfikir, jika ini terjadi kepada keluarga ku, dimana kekuatan yang aku ingin cari? Dari mana teguhnya Iman aku untuk memikul dugaan Allah ini. Betapa hebatnya keluarga-keluarga ini menerima dugaan Allah. Melepaskan orang yang kita sayang, bukan perkara yang mudah dan juga bukan semudah air mengalir di sungai. Hari-hari yang dilalui hanya menatap gambar mereka yang disayangi. Melalui saat getir ini, hanya linangan air mata dan juga keihlasan Al Fatihah untuk mereka. Perjuangan mereka membawa kita terbang tinggi terhenti untuk selamanya. Kini, mereka pergi untuk selamanya tidak kembali. Hanya, kenangan indah dan juga cerita-cerita indah mereka berkongsi bersama. Mungkin ini takdir Allah buat mereka, pergi dalam keadaan yang tidak dijangka, pergi bersama pesan dan juga cerita terakhir mereka. Apa yang terjadi hanya mereka dan Allah SWT sahaja yang tahu. Kita hanya mampu berdoa agar kesejahteraan dan keamanan Malaysia terus di jaga. 

Buat keluarga yang terlibat salam Takziah. Semoga terus tabah :(



MH17 - Pergi Selamanya

Terbang jauh membawa pulang tawa
Saat melintasi satu kawasan
Tepat sasaran untuk jatuh ke bumi
Tarik tali jadi aktiviti 
Saat sukar getir mula menerjah

Air mata menitis ke bumi
Aidilfitri tanpa dia disisi
Si kecil tersenyum namun ibunya hanya diam seribu bahasa
Air mata menitis ke bumi
Pergi tak diminta, datang dijemput
Seakan terakhir kali berpesan untuk sayang disayang

Menitis air mata ke bumi 
Pergi untuk selamanya
Pergi dengan berita, pesan sayu dipenghujung salam
Pergi meninggalkan bonda
Pergi meninggalkan ayahda
Meninggalkan si dia yang tersayang
Pergi tanpa pelukan sayang untuk si kecil

Pergi untuk selamanya dengan linangan air mata
Sayu, kaku dan sejuk tanpa sebarang seru
Hanya menuntut bela atas kapasiti kebenaran
Durjana neraka buat mereka yang berdosa
Menunut bela atas kebenaran dunia
Agar berjumpa kalian di jannah.

Tulisan : 
Nashriq Ismail, 
Unisel Library,
11.30am (29.08.2014)

No comments:

Post a Comment