Monday 31 March 2014

Main Baling Sampah

Assalamualaikum WBT.

Dalam sedar kita berada di hujung mac dan april akan berkunjung tiba. Alhamdulilah, semuanya masih berjalan dengan lancar. Setelah hampir dua bulan ini, keadaan banyak berubah, saya sendiri rasakan perubahan itu. Namun, siapa saya untuk menidakkan. Siapa saya untuk menentukan keadaan itu berubah. Tidak punyai kuasa untuk semuanya berubah dalam sekelip mata. Andai masa boleh diputar, saya menjadi manusia pertama berbaris, saya manusia pertama yang ingin berpatah semula untuk menjadi insan yang lebih baik. 

Sedari tadi, saya cuba untuk menulis sesuatu yang mempunyai maksud yang tersirat dan yang tersurat, namun kebijaksanaan tidak menjangkau dan tidak mampu mengarang seindah A. Samad Said dan penulis-penulis muda. Penulisan dari hati ini adakalanya mampu menelanjangkan identiti kita sendiri. Sedar atau tidak, adakalnya kita mempunyai paras rupa yang garang, namun hati kita seperti wanita. Adakalanya, kita mempunyai wajah nan tampan namun hati kita sekeras kerikil. Manusia itu berbeza-beza watak dan perwatakkanya. Tidak diminta dia menjadi cantik namun kata-katanya berbisa, tidak pula diminta menjadi seorang yang murung durja namun mempunyai bahasa sepuitis sang bidadari. Percaturan hidup kita adakalanya seperti permainan catur dan ada pula manusia mengaitkan kehidupan kita seperti roda basikal. Berputar dan terus berputar mengikut peredaran masa dan zaman.  

Inilah dikatakan, keadaan akan berubah. Masa tidak pandai menipu, kerana masa hanya penentu waktu dan keadaan, yang menipu adalah kita yang pandai berbicara dan pandai bermain kata. Adakalanya, kita manusia yang tidak pandai menipu, tetapi kita cuba untuk menipu, dan di akhirnya, disedari. Alangkah berbisa perbuatan menipu itu. Inilah yang dikatakan masa tidak pandai menipu. Jika tidak faham apa yang diperkatakan, bacalah sepintas lalu supaya anda tidak mempunyai hati untuk bertindak balas dengan panji-panji kebenaran. Adakalanya, penipuan itu sikit sahaja, namun dia menjadi lebar dalam permaidani indah. Menjadi satu permainan dan percaturan yang lebih menarik. Ianya seperti bermain batu seremban, selerak dan kemudian dikumpul dan akhirnya kita lihat siapa yang berjaya. 

Saya tinggalkan penipuan itu dengan segala pertanyaan di minda pembaca, andai kita mampu lakukan pada orang lain masakkan kita tidak mampu lakukan pada orang keliling. Ianya cukup romantis untuk dinilai, dibaca dan juga untuk mempertahankan kata-kata. Masa terus berputar dengan dan mengilhamkan kita dengan hari-hari yang penuh dengan cabaran. Keadaan akan berubah sedikit demi sedikit. Mata saya terus meliar melihat segala keadaan keliling yang berlaku. Melihat dari sudut tingkap sehingga ke pintu. Alhamdulilah, semuanya menjawab segala persoalan di laci meja. Maka, sepantas mungkin kita mula mencorakkan sehelai kertas dengan corak yang baru. Mula menulis, mula melukis dan mula menggambarkan kesedihan, kegembiraan dan juga kepahitan. Dilukis sedikit kesedihan dan kemudian corak mula dicanting dengan sedikit kegembiraan dan akhirnya pahit jua bakal ditelan. Nasihat dari pakar hati, biarkan berlalu pergi dan jangan sesekali melukis keindahan itu di atas kertas lukisan. Biarkan ianya menjadi kertas yang sudah dilukis namun sukar untuk dipadam. 

Hanya penulisan sampah pagi ini. Mahu menulis dengan kata-kata yang tidak difahami, tidak pandai pula untuk berbicara. Tapi tidak mengapa, hikmahnya kemudian, yang ada pada hari ini adalah kenangan manis, jangan dipahatkan pahit. Biarkan semuanya menjadi satu perkara indah yang tidak pernah dijangka. Biar pedih, asalkan kita kenal erti pengorbanan. Egois minda harus diketepikan, dan jangan sesekali membenarkan diri kita sentiasa di panji kebenaran. Adakalanya, kita kena merasa terduduk di sudut pintu. Buat yang membaca, positif minda, penulisan ini hanya nasihat hati untuk saya dan tidak terniat melempar selipar ke wajah-wajah manis anda. Namun, penulisan saya biasa sahaja, tidak tersakit pun hati siapa yang membacanya. 

Sehingga kita bertemu di lain kalam dan bual bicara. Sehingga kita berjumpa di Jannah apabila terpisah. Sehingga kita sama-sama berpimpinan untuk menuju ke syurga agar tiada yang terleka. Terima kasih kerana mendidik dan mentarbiyah, terima kasih kerana menasihati, terima kasih kerana sudi menjadi teman seperjuangan dan terima kasih atas segalanya. Maaf dipinta jika salah dan silap atas segalanya. :)

 

No comments:

Post a Comment