Sunday 12 August 2012

Ramadhan Ada Kisahnya ~

Semestinya, ramai yang sedang mengejar Malam Lailatul Qadar. Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya. Alhamdulilah, tahun ini di dalam bulan Ramadhan, rasa satu kelainan yang cukup membezakan aku yang terdahulu dan yang kini. Aku lebih terbuka untuk menerima teguran sesiapapun tetapi dengan cara yang berhemat. Bersyukur juga berkenalan dengan mereka-meraka yang banyak ilmunya berbanding aku yang hanya secetek buku lali kaki. Sungguh tinggi untuk sampai ke kepala. Ramadhan pada tahun ini banyak mengajar aku erti perubahan dan penambahbaikan dalam kehidupan seharian. Tidak berat mulut di bibir ingin aku katakan, aku seorang manusia yang alpa dan lalai menjalankan tanggungjawab. Terkadang aku terfikir, ingin memutarkan masa seindah yang boleh untuk kembali ke zaman kecil. Teringat dahulu bagaimana dididik untuk mendirikan Solat dan juga membaca Al Quraan. Suatu ketika dahulu, seronok membaca Al Quraan, berlumba-lumba dengan sahabat handai untuk cepat khatam. Sebenarnya, seawal darjah 6 sudahpun khatam Al Quraan dan sepatutnya aku meneruskan lagi mengaji untuk mempelajari bacaan yang lebih tepat dan mengenal tajwid. Memandangkan naik ke tingkatan satu, aku bersekolah di sebelah petang dan pulang ke rumah lewat menjadikan alasan penat itu tidak ke kelas mengaji. Di situ aku merasai kerugian sebenarnya apabila difikirkan semula. Inilah nasib tidak mendengar keluh kesah seorang ibu yang ingin melihat anaknya membesar dengan ilmu agama penuh di dada. Sesungguhnya, aku telah mengecewakan hati seorang ibu. Sudah lama aku meninggalkan Al Quraan, cuma aku membuka Al Quraan pada khamis malam jumaat untuk membaca Yasin. Solat? Perkara wajib bagi Umat Islam, namun aku lalai dan alpa ke atas tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Seperti meletakkan Solat itu di tangga ke dua. Sesungguhnya, aku manusia yang cukup lalai dan dimurkai. 

Alhamdulilah, aku bersyukur ke hadrat Allah S.W.T sikit demi sedikit aku melakukan perubahan untuk terus hidup di muka bumi Allah S.W.T ini. Ramai yang membantu, walaupun tidak membantu dari segi lisan, dari segi aku melihat, aku mula tertarik dengan apa yang mereka lakukan. Beramal dan beribadat kepada Tuhan yang satu dan hanya DIA yang berkuasa menentukan segalanya. Cukup berterima kasih kepada seorang yang bernama Ibu menyedarkan akan kekhilafan anaknya. Tidak kurangnya, rakan-rakan yang membuatkan saya terbuka mata dan hati untuk mencari keredhaan Allah S.W.T di dalam kehidupan. Pengalaman di Jakarta dan Bandung, melihat anak-anak remaja yang meningkat usia mendekatkan diri dengan Allah di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak ini. Mereka bersama bersaing membaca Al Quraan dan ada yang menghafaz ayat-ayat suci Al Quraan. Dahulu, aku lancar membacanya namun kini, seperti anak-anak kecil yang baru mengenal huruf. Betapa ruginya, aku sebagai seorang yang beragama Islam tidak mendapatkan peluang emas dalam mengejar Akhirat kelak. Di negara jiran jugak, aku melihat di mana sahaja kita berada, kita wajib menjalankan kewajipan sebagai seorang Umat Islam. Walau sesibuk mana aktiviri seharian kita, wajiblah sebagai hamba mendirikan solat untuk mendapatkan keberkatan dan nikmat dariNYA. Ramadhan pada tahun ini, telah mengubah kehidupan aku menjadi insan yang lebih baik. Selepas melihat anak-anak remaja itu, aku mula tertarik dengan apa sahaja yang meraka lakukan. Terima kasih anak-anak remaja, kerana kalian telah memberi sedikit ruang aku berfikir untuk mencari satu ketenangan yang abadi. Semoga kekal apa yang dilakukan. Kepada anak-anak remaja yang memberi tunjuk ajar,terima kasih. Semoga kita masih mampu berkongsi ilmu dan sebagainya. Sesungguhnya, aku bersyukur kerana di beri peluang untuk berubah dan dibuka sedikit demi sedikit pintu hati. Bukan riak menceritakan perubahan, hanya berkongsi kisah dan pengalaman. Sudah tiba masa, sebagai manusia mula untuk mengorak langkah ke landasan yang lebih tepat dan betul. 

Amin :)

23 Ramadhan ~ 12/08/2012
Wangsa Maju, Seksyen 1.

4 comments: