Tuesday 21 January 2014

2013 ? Antara Senyum, Tangis & Tawa

Assalamualaikum WBT  :)

Alhamdulilah, masih diberi nikmat dan rezeki untuk menyedut udara nyaman di dunia. Allah terus menerus memberi nikmat yang tidak terhingga. 20 hari sudah berlalu, 2013 meninggalkan banyak kenangan indah buat saya sebagai manusia yang menumpang di bumi Allah S.W.T. Pantas masa berlalu, sedar atau tidak umur saya telah menjangkau ke 26 tahun. Alhamdulilah, Kenapa Allah terus menerus menghidupkan saya di bumi ini? Kerana masih terlalu banyak dosa yang sempat dicuci. Lima kali sehari, namun adakalanya terkurang tiga, terkurang dua dan adakalanya, menjadi pengikut Iblis untuk dihumban ke neraka. Manusia mana yang tidak lalai dan alpa, namun jangan dipatahkan semangat kerana Allah S.W.T sentiasa memberi dengan apa yang kita pinta. 


2013? Alhamdulilah, secara totalnya saya rasa puas melalui 2013 dengan pelbagai onak duri. Pengajian di UiTM hanya tinggal lagi setahun setengah, sudah berkhidmat di UNISEL hampir tiga tahun, dikurniakan keluarga yang semakin besar. Seorang Ayah, Seorang Ibu, Seorang Kakak, Dua orang Abang, Seorang Abang Ipar, Dua orang Kakak Ipar dan Seorang Adik. Anak buah yang dari tahun ke tahun meningkat umur, Tiga orang lelaki dan Lima orang perempuan. Semakin hari, usia Bonda dan Ayahda makin meningkat dan makin hari makin didatangi pelbagai jenis penyakit. Adakah diri ini bersedia untuk menerima kehilangan mereka di depan mata? Secara jujurnya, saya tidak mampu. Kekuatan dan semangat yang hadir ke dalam diri ini datangnya dari Doa seorang Bonda dan leteran seorang Ayahda. Semoga Allah S.W.T terus memanjangkan usia Bonda dan Ayahda. Di lubuk hati yang kecil ini berharap agar Bonda dan Ayahda dapat kembali melihat saya berdiri gah di atas pentas konvokesyen kelak. 


2013? Alhamdulilah, Allah memberi rezeki sekali lagi untuk bersiar-siar di negara jiran. Adakalanya terfikir sejenak, saya terlalu leka sewaktu disekolah. Menyesal? Semestinya YA, melihat adik-adik melangkah ke negara jiran menyambung pelajaran, sedikit cemburu itu muncul namun apalah daya sebagai manusia kerdil, nasi sudah menjadi bubur. Apa yang ada kini cukup membanggakan, kerna hasil usaha yang bertubi-tubi dilakukan. Kenangan paling indah yang saya sendiri ciptakan untuk memenuhi ruang hidup adalah melangkah kaki ke Jakarta sebagai tetamu di sebuah rumah di Tanjung Duren, Jakarta. Menyambut hari kelahiran seorang teman dan juga serorang adik yang terus berjuang untuk bergelar Doktor. Alhamdulilah, syukur kepada Allah S.W.T kerana memberi peluang untuk mengenali mereka-mereka yang hebat. 2013? 25 Tahun, Dikurniakan hati yang rapuh. Dikurniakan perasaan seorang lelaki. Terus menerus menjadi misteri kerana Allah S.W.T lebih tahu apa yang terbaik buat hambanya. Semoga terus berjaya dalam menongkah arus kerjaya dan semoga terus menjadi yang terbaik diantara yang terbaik. Mungkin mulut ini diam, namun hati terus berbicara. Sehingga tiba masanya, mulut akan berbicara jua. Kekuatan dan azam, sehingga kita ketumu disuatu bingkisan bicara.

2013? Meneruskan perjuangan sebagai anak muda dalam menggerakkan pasukan mahupun jentera berkaki untuk mempertahankan kedaulatan negara tercinta. Terus berjuang, bergelar Setiausaha lelaki dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Berkecimpung dalam dunia gelita pada mulanya hanya ingin tahu, lama-kelamaan menjadi manusia yang perlu mengambil tahu. Deringan telefon di mana sahaja, berpucuk-pucuk email menerjah dan juga berkoyan-koyan aktivitas yang disertai. Dari IMPACT bawa ke Gelandangan kemudian berubah wajah ke Forum Kebangsaan Pemimpin Muda kemudian berubah arus ke Masa Depan Ku Pilihan Ku kemudian Acara  Gilang Gemilang, Persidangan Generasi Y 2014. Alhamdulilah, Allah telah mengurniakan sedikit bakat pinjaman dunia sementara, menjadi seorang pengacara majlis. Mendapat komentar yang positif kata sesetengah pihak, Alhamdulilah, terima kasih kepada yang terus menerus memberi semangat dan dorongan. Teringat seseorang yang bergelar Bonda juga, tidak putus-putus memberi semangat dan doa, menghantar SMS, Whatsapp dan tidak terlepas untuk menelefon. Terima Kasih yang tidak terhingga. 

2013? Catatan sedih bersulam duka, pastinya perpisahan yang sering berlaku bersama adik-adik yang kembali pulang berjuang ke medan peperangan bagi bergelar seorang Doktor. Semoga kalian terus utuh dengan ukhwah yang ada. Terima kasih menerima saya sebagai tetamu sampingan dalam buku cerita cemara kalian. Semoga terus dalam Barakah Allah S.W.T. Cerita-cerita palsu dan kata-kata pujangga dari sang lebah yang sentiasa mengharapkan belas ehsan membuatkan diri ini terasa hina menjadi seorang lelaki yang beperwatakkan lembut. Jauh di sudut hati, adakah anda terfikir sejenak, kata-kata itu Doa. Kata-kata itu sakit dan sukar untuk diterima. Sudah jauh, hanya laluinya dengan sabar dan kata seseorang kita memberi tindak balas secara halus dan profesional. Melalui saat-saat genting apabila ingin ditukar tempat berkhidmat membuatkan diri ini terasa seperti bola yang mampu ditendang oleh David Beckham. Yang benar tetap benar, yang salah tetap salah. Allah mengurniakan akal dan fikiran untuk berfikir dan fikirlah sejenak sementara akal dan fikiran itu berfungsi.  Pelukan terakhir bersama teman-teman yang saya sayangi, tiga tahun mengenali meraka di dalam kelas, di dalam kamar dan juga di meja makan membuatkan diri ini kadang-kala menjadi rindu yang teramat. Kembali bersama setelah berpisah hampir setahun setengah, mereka meneruskan perjuangan di medan masing-masing. Ketawa, tepung dan sebagainya membuatkan ukhwah itu kembali utuh dan kuat. Terima kasih kalian berdua kerana memberi semangat dan terus membantu insan yang lemah. Semoga cita-cita kalian hendak ke luar negara tercapai. Pastikan Segulung Ijazah Sarjana berada di dalam tangan.


Akhir kata, Terima kasih kepada semua yang menerangi kehidupan gelita saya. Terima kasih kepada sesiapa yang menjadi Bonda dan juga Ayahda kepada saya. Terima kasih kepada sesiapa yang menjadi kakak dan juga abang dalam kehidupan saya. Teguran dan juga nasihat kalian berguna mungkin membuatkan saya lebih matang untuk terus hidup di bumi Allah ini. Buat teman-teman, teruskan perjuangan sehingga tiupan sangka-kala, jangan diendah kata-kata keji namun perhatikan jam yang masih berputar di tangan. Inilah fitrah kehidpuan, adakala kebelakang dan ada juga yang mara kehadapan. Jangan ditoleh kisah dibelakang namun kejarlah cerita yang menarik dihadapan. Memohon maaf atas segala kekurangan di dalam tahun 2013. Kembalilah melihat apa erti kita hidup di dunia? Membantu atau sekadar Membatu. Jalan yang sama cuma lekok serta bengkang-bengkok yang tidak serupa. Semoga kita berjumpa lagi di kalam cerita dan bingkisan yang lain. Terima kasih sudi membaca. :)

No comments:

Post a Comment