Thursday 18 December 2014

Cerita 2014

Assalamualaikum wbt. :)

Alhamdulilah, masih lagi mempunyai tenaga dan kudrat untuk menulis. Masih lagi diberi nyawa untuk bernafas. Syukur! Itulah nikmat hidup yang paling bermakna untuk segalanya. Rasanya, masih cukup utuh dan kukuh Iman di dalam diri. Masih lagi lemah dan sering tersasar dari jalan yang benar. 

Secara realitinya, kini sudah hampir berada di penghujung 2014. Hanya berbaki 13 hari lagi 2015 datang membawa lembaran baru bagi setiap manusia yang ada dimuka bumi yang hanya sementara ini. Inilah realitinya, makin berubah tahun makin bertambah angka umurnya. Kini, hanya bersedia menempuh satu lagi arena umur yang akan dilemparkan dengan pelbagai soalan. Semoga tabah dan terus cekal dalam menempuh jalan berliku. 

Hanya berkongsi sedikit pahit manis sepanjang 2014, yang hanya memulakan tirai tahun baru dengan membawa nama Generasi Pelapis Malaysia ke persada politik tanah air yang terus disebut oleh masyarakat. Persidangan Isu Kebangsaan Generasi Y 2014 memberi impak baru dalam arena seni suara saya sebagai pengacara majlis. Satu bakat yang hanya menjadi pinjaman kita di dunia ini. Tiada apa yang boleh dimegahkan, kerana itu hak sepenuhnya oleh Allah S.W.T dan kita hanya meminjam dan bakal memulangkannya bila-bila masa. Bermulalah titik tolak dalam arena pengacara majlis. Biarlah orang ketawa kerana suara tidak semerdu Dato' Siti Nurhaliza Taruddin, namun saya berani tampil ke hadapan untuk mengacarakan majlis. Majlis-majlis lain yang saya pernah hadiri untuk menjadi pengacara majlis :
  • Majlis Persefahaman dan Pelancaran Produk SONA di Shah Alam
  • Dilantik sebagai Pengacara Majlis Istiadat Konvokesyen UNISEL Kali ke 9
  • Majlis Menandatangani Persefahaman antara UNISEL dan Universitas Lancang Kuning.
  • Pengacara Majlis di Perhimpunan Bulanan Staf UNISEL.

Alhamdulilah dan terima kasih Ya Allah atas bakat dan pinjaman ini. Persidangan Isu Kebangsaan Generasi Y ini memberi pengajaran dan pelajaran buat saya untuk terus hidup di atas muka bumi ini. Arena politikus dunia ini bukanlah arena yang sebati dengan jiwa saya. Biarlah ia menjadi rahsia apa yang berlaku dan apa yang akan terjadi. Teruslah utuh dan berdiri di jalan Allah agar mara dan majunya sesebuah organisasi itu. 

Seketika kita di dalam keadaan tekanan, selain keluarga, sahabat juga teman yang tidak pernah putus-putus memberikan semangat. Seketika ruang udara kita serius dengan kehilangan dua pesawat Malaysia Airlines, kami teruskan juga percutian ke Sarawak, mengenali budaya dan cara hidup mereka di sana. Rehatlah sepuas yang mungkin kerana tekanan akan kembali seperti sediakala. Melalui saat-saat yang cukup menarik sepanjang di Kuching, ia memberi saya sedikit sebanyak pengalaman hidup merantau. Bagaimana ingin berdikari dan juga membawa diri di tempat orang. Awal tahun juga memberi ruang untuk saya terus berkenalan dengan manusia-manusia hebat yang pulang dari Jakarta dan merantau ke Terengganu, mengenali mereka adalah satu kurniaan ukhwah dari Allah yang tidak terhingga. Terima kasih atas semangat dan juga ilmu yang dikongsikan. :)

Sekitar awal tahun yang biasa-biasa sahaja. Pertengahan tahun yang agak kucar-kacir dengan kelas dan juga kerja-kerja kursus yang harus diselesaikan. Maaf Mr. Presiden, tahun ini tiada kejutan buat anda di Jakarta, kiriman doa kepada yang berada Di Atas agar anda terus menjadi insan yang hebat dan tidak pernah mengalah dalam arena yang diceburi. Selangkah ke hadapan, usia meningkat 26 tahun. Alhamdulilah, masih dikurniakan seorang ayah dan juga ibu yang tidak pernah lekang dengan bebel dan nasihatnya, kakak yang terus menjadi tulang belakang, abang yang sentiasa memberi semangat dan melayan kerenah adik yang pelbagai ragamnya. 26 tahun, sudah mempunyai kerjaya, sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan bercita-cita ingin menempah tiket melanjutkan Ijazah Sarjana di luar negara (InsyaAllah, jika diberi izin oleh Allah S.W.T). Usah bertanya tentang jodoh, kerana Allah telah meletakkan satu nama yang bakal menemani saya sepanjang usia. Namun, saya masih belum bersedia. Pahit satu ketika dulu itu melahirkan semula saya pada masa kini. :)

Bertemu kita di bulan Ramadhan kemudia kita Syawal bersama. Alhamdulilah, ibu masih mampu tersenyum melihat cucu pulang ke bandar dengan meriahnya rumah. Sibuk si Ayah membeli apa jua yang diminati oleh cucu dan juga menantu. Keluarga mana yang tidak dilanda badai, semuanya mempunyai kurangnya namun hiasilah selagi kita  mampu menghias dan jangan biar ia terus cacat tanpa usaha. Bulan Ramadhan ini juga memberi makna yang cukup dalam buat saya. Mengenali mereka-meraka yang hebat berkerja keras, membanting tulang membantu anak bangsa terus mara dan tidak mundur. BeliaSiswa terus terpahat di dalam minda dan hati. Kenali mereka sekadar bersahaja, namun tidak sangka mampu ketawa semeja, hilai tawa bersama, berpokok gurindam juga. Mengenali mereka juga satu kurniaan manis yang tidak terhingga. WCLT, menjadikan saya seorang yang mengenali insan yang memerlukan, mengenali mereka apa yang ditagihkan, mengenali mereka apa yang didambakan. Di mata, hanya nampak satu cahaya, hanya perlukan kasih dan sayang. Semoga mereka terus menjadi anak yang baik, menjadi anak yang soleh dan solehah, menjadikan mereka orang yang mampu membakti kepada negara dan membanggakan Malaysia. Rindu kalian di Rumah Nur Hikmah, **Pernah mimpi arip! Itu yang paling menyentuh hati** Buat mereka yang bersama di Kidzania, anda juga berada di hati saya, kerana tautan silaturahim itu tidak pernah akan putus, yang memutuskan kita hanya ajal dan maut. WCLT I,II, III anda tetap hebat di mata saya, semoga kita jumpa lagi bila ada kelapangan dan juga ruang waktu. Rindu kalian :)

Akhir bingkisan, ini adalah hadian terindah buat tahun 2014, sesuatu yang berharga. Pahit dan payah yang sedang saya lalui, namun sudah tertulis, saya perlu juga lalui. Berbaki 3 hari lagi, saya akan berangkat ke Dublin, Ireland. Satu perkara dan percutian yang saya sendiri tidak jangkakan. Ini adalah hasil bantuan semua orang yang berada di keliling saya. Mereka terus memberi ruang dan waktu untuk saya rasa satu nikmat dunia di kala bujang masih berstatus. Perjalanan ke Dublin ditemani merka-meraka yang tidak pernah lupa untuk membawa saya terokai dunia. Terima kasih kalian kerana terus membawa saya mengenali dunia. Malaysia - Instanbul - Dublin - Instanbul - Malaysia. Terima kasih atas segala bantuan anda semua. Semoga bantuan anda melipat gandakan pahala dan juga kesenangan di dunia. 

Semoga tahun 2014 ini memberi makna yang cukup untuk berpindah ke 2015. Pasang tali pinggang  dan duduk ditempat masing-masing, tegakkan kerusi dan bersedia untuk mendarat ke 2015. 

Salam Sayang, 
Nashriq.

No comments:

Post a Comment